MAWLID MAWLANA AMIRUL MUKMININ SAYYIDINA ALI BIN ABI TALIB A.S.

Kata Ibn al-Ṣabbāgh al-Mālikī:

Ali a.s. telah dilahirkan di Makkah al-Musharrafah, di dalam al-Bayt al-Haram, pada hari Jumaat, 13 daripada bulan Allah al-Aamm[1], Rejab yang tunggal, tahun 30 dari Tahun Gajah, sebelum Hijrah dengan 23 tahun, dikatakan juga: 25 tahun. Dan sebelum kebangkitan (Nabi s.a.a.w) dengan 12 tahun, dikatakan juga: 10 tahun.

Dan tidak pernah dilahirkan di dalam al-Bayt al-Haram sebelum beliau seorang pun selain beliau, dan ia adalah satu kelebihan yang dikhususkan oleh Allah Ta’ala kepada beliau, untuk memuliakan beliau, meninggikan martabat beliau, dan menzahirkan kemuliaan beliau.

Dan Ali adalah seorang Hāshimī dari dua orang Hāshimī, dan orang pertama yang dilahirkan oleh Hāshim sebanyak dua kali[2][3].

Kata al-Ḥākim al-Naysābūrī:

Sesungguhnya khabar-khabar telah pun mutawatir bahawa Fatimah binti Asad telah melahirkan Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib – semoga Allah memuliakan wajah beliau – di dalam Ka’bah[4].

Salam sejahtera ke atas Mawlana Amirul Mukminin, beserta rahmat Allah dan keberkatan-Nya.


[1] Salah satu gelaran bulan Rejab, yang bermakna: yang tidak mendengar; kerana tiada kedengaran sebarang bunyi peperangan mahupun senjata pada bulan ini, kerana ia adalah bulan haram.

[2] Nasab Sayyidina Ali a.s. dari sebelah bapa: Ali bin Abi Talib bin Abdul Muttalib bin Hashim.

Nasab beliau dari sebelah ibu pula: Ali bin Fatimah binti Asad bin Hashim.

[3] al-Fuṣūl al-Muhimmah fi Maʿrifat al-Aʾimmah, hal. 35-36, tahqiq: Sayyid Ja’far al-Husayni.

[4] al-Mustadrak ala al-Ṣaḥīḥayn, 3:483.

ADA APA DENGAN HARI TARWIYAH?

Hari Tarwiyah adalah nama bagi tanggal 8 Zulhijjah, yang merupakan hari di mana para jemaah haji keluar dari Makkah ke Mina untuk bermalam dan seterusnya ke padang Arafah. Ia dinamakan sedemikian kerana para jemaah haji mengisi air dengan secukupnya pada hari ini sebagai bekalan keluar ke Arafah. Dikatakan juga: bahawa Nabi Ibrahim a.s. telah diperlihatkan dalam mimpi pada malam sebelumnya bahawa baginda menyembelih anak baginda, maka keesokan harinya baginda berpagi-pagian dalam keadaan berfikir mengenai perkara tersebut: apakah ia daripada Allah, atau daripada syaitan?

Dalam sejarah Ahlul Bayt a.s. pula, ada 2 peristiwa penting yang berlaku pada Hari Tarwiyah, iaitu:

  • Keluarnya Sayyidina Husein a.s. bersama rombongan beliau dari Makkah ke Kufah. Perincian lebih lanjut mengenai peristiwa ini boleh ditemui di dalam buku Ada Apa Dengan Karbala, hal. 118-135. (https://itrati.com/product/ada-apa-dengan-karbala/)
  • Pertempuran Fakhkh, yang berlaku pada tahun 169 H, yang menyaksikan kesyahidan Sayyid Husein bin Ali (al-Khayr) bin Hasan (al-Muthallath) bin Hasan (al-Muthanna) bin Hasan bin Ali bin Abi Talib a.s. bersama para penyokong beliau, dalam satu gerakan revolusi menentang pemerintahan Abbasiyyah.

Salam sejahtera ke atas para syuhada Ahlul Bayt, beserta rahmat Allah dan keberkatan-Nya.

Kesyahidan Saidina Ali a.s.

21 Ramaḍān, adalah hari kesyahidan Saidina Ali a.s.

Pada pagi 19 Ramaḍān 40H, ketika sedang sujud dalam solat Subuh, beliau telah ditetak di kepala oleh Abdul Rahman bin Muljim al-Murādī, salah seorang golongan Khawārij. Motifnya ialah tidak berpuas hati dengan Saidina Ali yang berjaya menumpaskan golongan Khawārij dalam Perang Nahrawān, di mana tidak sampai sepuluh orang daripada mereka yang berjaya menyelamatkan diri.

Setelah ditetak, Saidina Ali a.s. telah dibawa ke rumah untuk berehat. Ibn Muljim si durjana pula berjaya ditangkap. Walaupun dizalimi sebegitu rupa, Saidina Ali a.s. tetap memerintahkan supaya penjenayah terbabit dilayan dengan baik dari segi makanan dan tempat tidur. Beliau bertitah bahawa jika beliau panjang umur, maka beliau lebih tahu apa yang patut dilakukan samada memaafkan atau melaksanakan qisas. Jika beliau wafat, maka laksanakanlah qisas dengan adil tanpa perbuatan yang melampau.

Setelah lebih dua hari menahan sakit, Amirul Mukminin Saidina Ali a.s. akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 21 Ramaḍān 40H.

Saidina Hasan a.s. dalam ucapan selepas kewafatan bapa beliau menyatakan: “Demi sesungguhnya, seorang lelaki telah meninggalkan kamu semalam, yang mana orang-orang terdahulu tidaklah mendahului beliau dengan ilmu, dan beliau tidak mampu dikejar oleh orang-orang terkemudian. Rasulullah s.a.a.w dahulu mengutuskan beliau dengan panji peperangan; Jibrīl di sebelah kanan beliau, dan Mikāʾīl di sebelah kiri beliau, beliau tidak beredar sehinggalah dibukakan kepada beliau“. [Musnad Ahmad: 1719]

Salam sejahtera ke atas Mawlana Amirul Mukminin, beserta rahmat Allah dan keberkatan-Nya.

“Ali termasuk daripadaku, dan aku termasuk daripada Ali”

Kata al-Ḥāfiẓ ʿAbdullāh bin al-Ṣiddīq al-Ghumārī dalam kitab beliau “al-Kanz al-Thamīn” hal. 350, dalam mensyarahkan hadith “Ali termasuk daripadaku, dan aku termasuk daripada Ali, dan tiada yang menunaikan bagi pihakku melainkan aku atau Ali”:

“[Ali termasuk daripadaku, dan aku termasuk daripada Ali]: Dalam hadith ini terdapat satu penyerupaan yang manis; kerana Ali telah terdidik di rumah Nabi s.a.a.w, maka beliau telah membesar diatas tauhid, dan beliau tidak pernah sujud kepada satu berhala pun (semoga Allah memuliakan wajah beliau). Dari sinilah, Nabi s.a.a.w mempersaudarakan beliau dari sekalian sahabat lain yang pernah sujud kepada berhala.

Maka hubungan kerabat beliau yang rapat dengan Rasul Teragung, membesarnya beliau dalam ribaan baginda, dan perdampingan beliau dengan baginda: telah menjadikan beliau sebagai pewaris ilmu-ilmu baginda, orang yang dipercayai ke atas syarak baginda, yang memelihara risalah baginda, yang berakhlak dengan akhlak baginda, yang berealisasi dengan sifat-sifat baginda; maka beliaulah sahabat yang paling alim, paling faqih, paling memutuskan hukuman, paling telus mata hati dalam agama, paling teliti fatwanya, paling bagus hujahnya, dan paling terpimpin kepada kebenaran.

Cukuplah bagi kita pada yang demikian itu kata-kata Umar r.a: “Kalaulah tidak kerana Ali, sudah tentu binasalah Umar”, dan katanya: “Semoga aku tidak kekal hingga kepada suatu kerumitan yang tiada untuknya Abu al-Hasan”.

Kata al-Shaʿbī pula: “Perumpamaan Ali dalam umat ini adalah umpama al-Masīh putera Maryam”.

Maka Baginda s.a.a.w telah bersabda kepada beliau: “Engkau daripadaku adalah seperti kedudukan Harun daripada Musa, akan tetapi tiada nabi selepasku”. Dan Harun adalah khalifah Musa pada kaum baginda, ketika baginda tiada kerana suatu urusan, dan beliau telah meninggal sebelum Musa, salam sejahtera ke atas mereka berdua.

Maka ayat: “Akan tetapi tiada nabi selepasku” telah datang untuk menunjukkan bahawa khilafah Ali itu adalah pada segala ilmu dan hakikat ‘Irfan, yang tidaklah datang kepada beliau dengan wahyu, seperti yang telah didakwa oleh para pelampau; kerana sesungguhnya seorang lelaki dari kabilah Kalb telah berkata kepada beliau: “Demi sesungguhnya, engkau telah diberikan – wahai Amirul Mukminin – ilmu ghaib!”. Lalu beliau ketawa, dan mengatakan: “Wahai saudara Kalb, ia bukanlah ilmu ghaib, akan tetapi hanyasanya ia adalah pembelajaran daripada orang yang mempunyai ilmu”.

Hanyasanya ia telah datang kepada beliau dengan secara pembelajaran dan talaqqi, daripada saudara dan guru beliau s.a.a.w; maka beliau ialah khalifah dalam memimpin para ulama yang arifin, dan kerana inilah tiada seorang pun dari kalangan sahabat r.anhum yang dinamakan sebagai Imam selain beliau.

Maka penyerupaan dalam hadith ini menerangkan: bahawa Ali telah mencapai dalam Imāmah beliau itu tahap bercampur sebati seorang murid dengan gurunya dengan campuran yang sempurna, dan cukuplah bagimu dengan ini sebagai dalil kepada ketinggian maqam Ali a.s.

Dan apabila Baginda Rasul s.a.a.w murka, tiada siapapun yang berani bercakap dengan baginda melainkan Ali, dan yang demikian itu kerana dua sebab:

  • Salah satunya: apa yang telah terdahulu; daripada tarbiyah beliau di rumah baginda, dan status beliau sebagai khalifah, pemegang wasiat dan saudara baginda.
  • Kedua: kebersifatan dengan ilmu, yang mana beliau telah mengatasi kesemua sahabat r.anhum padanya, sedangkan Nabi – ke atas baginda selawat yang paling afdal dan salam yang paling sempurna – sering menggalakkan kepada memuliakan para ulama..

Kita memohon kepada Allah petunjuk kepada jalan-Nya yang lurus, dan istiqamah di atas melazimi jalan terang Nabi-Nya – ke atas baginda selawat dan salam yang paling afdal, dan tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung”.

Dinukil daripada:
أهل البيت عليهم السلام في تراث الحافظ عبد الله بن الصديق الغماري
عادل كاظم عبد الله
hal. 27-28.

LAILATUL QADR DI SISI AHLUL BAYT A.S.

ʿAbd al-Razzāq al-Ṣanʿānī meriwayatkan dalam Muṣannaf beliau (4/251, no. 7696), daripada Imam Jaʿfar al-Ṣādiq a.s, daripada bapa beliau Imam Muhammad al-Bāqir a.s, bahawa Saidina Ali a.s. menuntut Lailatul Qadr pada malam ke-19, malam ke-21, dan malam ke-23.

Ia juga telah disebutkan oleh al-Ḥāfiẓ Ibn ʿAbd al-Barr dalam al-Tamhīd (2/206). Imam Nawawi juga menyebutkannya dalam al-Majmūʿ (7/726).

[Lihat: Fiqh al-Āl oleh Sheikh Amīn al-Ḥadāʾ, hal. 445, cetakan al-Majmaʿ al-ʿĀlamī li Ahl al-Bayt, cetakan ketiga, 1433H/2012M]

Semoga kita semua diberikan tawfiq untuk mendapatkan malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini.

15 RAMAḌĀN: MAWLID SAIDINA HASAN A.S.

Kata Ibn al-Ṣabbāgh al-Mālikī:

“Hasan bin Ali telah dilahirkan pada pertengahan bulan Ramaḍān yang diagungkan, tahun ketiga daripada Hijrah. Hasan adalah anak sulung Ali dan Fatimah alaihimassalam.

Dan telah diriwayatkan secara marfu’ kepada Ali bin Abi Talib, kata beliau: Tatkala tiba waktu Fatimah mahu melahirkan, Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada Asmāʾ binti ʿUmays dan Ummu Salamah: Datangilah Fatimah, maka apabila anaknya telah lahir dan mula berteriak, maka kamu berdua azanlah pada telinga kanannya, dan iqamatlah pada telinga kirinya, kerana sesungguhnya tidaklah dilakukan yang demikian itu pada seseorang sepertinya melainkan dia akan dilindungi daripada syaitan. Dan janganlah kamu berdua lakukan sesuatu sehinggalah aku datang kepada kamu berdua.

Maka setelah beliau melahirkan, kami pun melakukan yang demikian itu, dan beliau pun didatangi oleh Rasulullah s.a.w, lalu baginda pun mengerat tali pusatnya dan membasahkan mulutnya dengan air liur baginda, dan bersabda: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku melindungkannya denganmu, dan juga anaknya, daripada syaitan yang direjam.

Maka apabila datang hari ketujuh dari kelahirannya, baginda s.a.w bertanya: Apakah yang telah kamu namakannya? Mereka menjawab: Ḥarb. Baginda s.a.w pun bersabda: Bahkan namakanlah dia Hasan.

Kemudian, sesungguhnya baginda s.a.w telah melakukan aqiqah untuknya dan menyembelih seekor biri-biri, dan baginda telah melakukannya dengan diri baginda sendiri yang mulia, dan baginda bersabda kepada Fatimah a.s: Cukurlah kepalanya, dan bersedekahlah dengan timbangan berat rambut itu dalam nilai perak. Maka timbangan berat daripada rambutnya itu selepas ia dicukur ialah satu Dirham lebih, lalu beliau pun bersedekah dengannya. Maka jadilah aqiqah dan juga bersedekah dengan timbangan berat rambut itu satu sunnah yang berterusan di sisi para ulama, dengan apa yang telah dilakukan oleh Nabi s.a.w pada hak Hasan a.s.”

[al-Fuṣūl al-Muhimmah fī Maʿrifat al-Aʾimmah, hal. 219-220, tahqiq Sayyid Jaʿfar al-Ḥusayni, cetakan al-Majmaʿ al-ʿĀlamī li Ahl al-Bayt, cetakan kedua, 1432H/2011M]  

Puasa menurut Ahlul Bayt a.s.

al-Ḥāfiẓ Abū Nuʿaym al-Aṣbahānī (430H) meriwayatkan dalam kitab beliau Ḥilyat al-Awliyāʾ wa Ṭabaqāt  al-Aṣfiyāʾ (3/141-142), daripada al-Zuhrī, katanya:

“Kami telah masuk berjumpa Ali bin Husein bin Ali[1], lalu beliau berkata: Wahai Zuhri, pada apakah kamu telah berhimpun?

Aku berkata: Kami telah bermuzakarah mengenai puasa, lalu pandanganku dan pandangan para sahabatku telah bersepakat, bahawa tiada daripada puasa itu sesuatu yang wajib, melainkan puasa Ramaḍān.

Maka beliau berkata: Wahai Zuhri, ia bukanlah sebagaimana apa yang kamu katakan. Puasa itu di atas 40 cara; 10 daripadanya wajib seperti kewajipan puasa Ramadan, 10 lagi haram, 14 jenis pula orangnya diberi pilihan; jika dia mahu dia boleh berpuasa, dan jika dia mahu juga dia boleh berbuka, dan puasa nazar itu wajib, dan puasa I’tikaf itu wajib”.

Kata Zuhri: “Aku pun berkata: Terangkanlah ia, wahai putera Rasulullah[2].

Beliau berkata: Adapun yang wajib, maka (ialah):

  • Puasa bulan Ramaḍān
  • Puasa 2 bulan berturut-turut- yakni dalam pembunuhan tidak sengaja, bagi orang yang tidak mampu memerdekakan hamba -, firman-Nya Ta’ala:

Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar “diah” (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (Hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. [al-Nisāʾ: 92]

  • Puasa 3 hari hari dalam kaffarah sumpah bagi orang yang tidak mampu memberi makan, firman Allah Azza wa Jalla:

Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah”. [al-Māʾidah: 89]

  • Puasa mencukur kepala (dalam ihram), firman-Nya Ta’ala:

Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah, iaitu: berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam”. [al-Baqarah: 196]

Orang berkenaan diberi pilihan; jika dia mahu dia boleh berpuasa 3 hari.

  • Puasa Dam Mut’ah bagi orang yang tidak mampu mendapatkan binatang sembelihan, firman Allah Ta’ala:

Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) Ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya, kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya)”. [al-Baqarah: 196]

  • Dan puasa balasan memburu (dalam ihram), firman Allah Azza wa Jalla:

Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumNya oleh dua orang yang adil di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir miskin di tanah suci), atau bayaran kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin; supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi berkuasa membalas dengan azab seksa”. [al-Māʾidah: 95].

Dan hanyasanya dinilaikan binatang buruan itu dengan suatu nilai, kemudian dibayar harga itu ke atas gandum.

Adapun yang mana orang berkenaan diberi pilihan, maka (ialah):

  • Puasa hari Isnin dan Khamis
  • Puasa 6 hari daripada Shawwāl selepas Ramaḍān
  • Hari ʿArafah
  • Dan hari ʿĀshūrā

Setiap yang demikian itu, orang berkenaan diberi pilihan, jika dia mahu dia boleh berpuasa, dan jika dia mahu dia boleh berbuka.

Adapun puasa keizinan, maka (ialah):

  • Seseorang wanita itu tidak boleh berpuasa sunat melainkan dengan izin suaminya
  • Demikianlah juga hamba lelaki dan perempuan.

Adapun puasa haram, maka (ialah):

  • Puasa Hari Raya Fiṭri
  • Hari Raya Aḍ’ḥá
  • Hari-hari Tashrīq
  • Hari syak; kita ditegah untuk berpuasa padanya seperti Ramadan
  • Puasa sambung adalah haram
  • Puasa diam adalah haram
  • Puasa nazar maksiat adalah haram
  • Dan puasa sepanjang tahun adalah haram.

Dan seseorang tetamu itu tidak boleh berpuasa melainkan dengan izin sahabatnya (yang merupakan tuan rumah), sabda Rasulullah s.a.w:

(( مَنْ نَزَلَ على قومٍ، فلا يَصُومَنَّ تَطَوُّعًا إلا بإذنهم ))

(maksudnya:) “Sesiapa yang singgah bertamu kepada suatu kaum, maka janganlah ia berpuasa sunat melainkan dengan izin mereka”.

Dan seseorang budak itu diperintahkan dengan puasa apabila dia belum baligh, sebagai langkah membiasakan, dan ia bukanlah fardu.

Demikianlah juga orang yang berbuka kerana suatu kesakitan pada awal hari, kemudian dia mendapati kekuatan pada tubuhnya (untuk berpuasa), dia diperintahkan menahan diri, dan yang demikian itu adalah asuhan Allah Azza wa Jalla, dan ia bukanlah fardu.

Demikianlah juga orang musafir apabila dia telah makan pada awal hari kemudian dia selamat tiba, dia diperintahkan untuk menahan diri daripada berbuka.

Adapun puasa keharusan: Maka sesiapa yang makan atau minum dalam keadaan lupa dengan tidak sengaja, maka sesungguhnya telah diharuskan baginya yang demikian itu, dan sahlah puasanya.

Adapun puasa orang musafir dan orang sakit, maka sesungguhnya orang ramai telah berselisih pandangan padanya:

  • Maka kata sebahagian mereka: hendaklah dia berpuasa
  • Kata satu puak pula: dia tidak perlu berpuasa
  • Dan kata satu puak lain: jika dia mahu dia boleh berpuasa, dan jika dia mahu dia boleh berbuka.

Adapun kami (Ahlul Bayt)[3], maka kami berkata: Hendaklah dia berbuka dalam kedua-dua keadaan. Maka jika dia berpuasa juga dalam permusafiran dan kesakitan, maka wajib ke atasnya menggantinya[4], firman Allah Azza wa Jalla:

Maka hendaklah dia berpuasa pada hari-hari yang lain”. [al-Baqarah: 184]”.


[1] Iaitu Imam Ali Zaynul ʿĀbidīn a.s, yang digelar juga sebagai al-Sajjād. Beliau adalah satu-satunya putera Saidina Husein a.s. yang terselamat dalam Tragedi Karbala, kerana beliau dalam keadaan sakit.

[2] Perhatikan bagaiman al-Zuhrī memanggil Imam Ali Zaynul ʿĀbidīn a.s. sebagai “putera Rasulullah” walaupun beliau bertaraf cicit baginda s.a.w.

[3] Ini menunjukkan bahawa Ahlul Bayt a.s. mempunyai pandangan dan mazhab mereka sendiri.

[4] Pandangan ini sama dengan apa yang dipegang oleh Mazhab Ja’fari.

KENALI SIFAT-SIFAT MANUSIA TERAGUNG!

Al-Tirmidhī meriwayatkan daripada Saidina ʿAlī a.s, kata beliau:

.لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ [وآله] وَسَلَّمَ بِالطَّوِيلِ وَلاَ بِالقَصِيرِ

.شَثْنَ الكَفَّيْنِ وَالقَدَمَيْنِ، ضَخْمَ الرَّأْسِ، ضَخْمَ الكَرَادِيسِ، طَوِيلَ الْمَسْرُبَةِ

.إِذَا مَشَى تَكَفَّأَ تَكَفُّؤًا، كَأَنَّمَا يَنْحَطُّ مِنْ صَبَبٍ

.لَمْ أَرَ قَبْلَهُ وَلاَ بَعْدَهُ مِثْلَهُ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ [وآله] وَسَلَّمَ

“Rasūlullāh s.a.a.w tidaklah terlalu tinggi atau pendek.

Tebal jari-jemari tangan dan kaki, besar saiz kepala, besar kepala tulang, panjang bulu dada.

Apabila baginda berjalan baginda condong ke depan, seolah-olah baginda sedang menuruni tempat yang rendah.

Aku tidak pernah melihat sebelum baginda atau selepas baginda orang yang seperti baginda s.a.a.w”[1].

Al-Tirmidhī juga meriwayatkan daripada Ibrāhīm bin Muḥammad, iaitu salah seorang keturunan Saidina ʿAlī a.s[2], katanya:

:كَانَ عَلِيٌّ، إِذَا وَصَفَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ [وآله] وَسَلَّمَ، قَالَ

.لَيْسَ بِالطَّوِيلِ الْمُمَّغِطِ وَلاَ بِالقَصِيرِ الْمُتَرَدِّدِ، وَكَانَ رَبْعَةً مِنَ القَوْمِ

.وَلَمْ يَكُنْ بِالجَعْدِ القَطَطِ وَلاَ بِالسَّبِطِ، كَانَ جَعْدًا رَجِلاً

.وَلَمْ يَكُنْ بِالمـُطَهَّمِ، وَلاَ بِالمـُكَلْثَمِ، وَكَانَ فِي الوَجْهِ تَدْوِيرٌ

أَبْيَضُ مُشْرَبٌ، أَدْعَجُ العَيْنَيْنِ، أَهْدَبُ الأَشْفَارِ، جَلِيلُ الْمُشَاشِ وَالكَتَدِ، أَجْرَدُ، ذُو مَسْرُبَةٍ، شَثْنُ الكَفَّيْنِ وَالقَدَمَيْنِ

.إِذَا مَشَى تَقَلَّعَ، كَأَنَّمَا يَمْشِي فِي صَبَبٍ، وَإِذَا التَفَتَ التَفَتَ مَعًا

.بَيْنَ كَتِفَيْهِ خَاتَمُ النُّبُوَّةِ، وَهُوَ خَاتَمُ النَّبِيِّينَ

.أَجْوَدُ النَّاسِ صَدْرًا، وَأَصْدَقُ النَّاسِ لَهْجَةً، وَأَلْيَنُهُمْ عَرِيكَةً، وَأَكْرَمُهُمْ عِشْرَةً

.مَنْ رَآهُ بَدِيهَةً هَابَهُ، وَمَنْ خَالَطَهُ مَعْرِفَةً أَحَبَّهُ

.يَقُولُ نَاعِتُهُ: لَمْ أَرَ قَبْلَهُ وَلاَ بَعْدَهُ مِثْلَهُ

“ʿAlī dahulu ketika menyifatkan Nabi s.a.a.w beliau berkata:

Baginda tidaklah terlalu tinggi atau terlalu rendah, baginda adalah sederhana dari kalangan kaum.

Baginda tidaklah terlalu kerinting rambut atau lurus, baginda berambut ikal mayang.

Baginda bukanlah gemuk atau berwajah bulat, dan pada muka baginda ada sedikit bentuk bulat.

Putih kemerahan, sangat hitam biji mata, panjang bulu mata, besar kepala tulang dan bawah pangkal belakang leher, tubuh baginda tidak penuh bulu, mempunyai masrubah (bulu yang memanjang dari dada ke pusat).

Apabila baginda berjalan, baginda seperti mencabut kaki daripada bumi, seolah-olah sedang berjalan di tempat menurun, dan apabila baginda berpaling baginda berpaling secara keseluruhan.

Di antara dua bahu baginda ada cap mohor kenabian, dan baginda adalah penyudah segala nabi.

Paling murah hati, paling jujur percakapan, paling lembut peribadi, dan paling mulia pergaulan.

Sesiapa yang melihat baginda secara tiba-tiba akan takut (kerana mengagungkan baginda), dan sesiapa yang bergaul dengan baginda kerana mengenali pula akan mencintai baginda.

Kata penyifat baginda: Aku tidak pernah melihat sebelum baginda atau selepas baginda orang yang seperti baginda”[3].


[1] Sunan al-Tirmidhī, nombor 3637. Kata al-Tirmidhī: Ini adalah hadith yang hasan lagi sahih.

[2] Beliau ialah cucu Saidina ʿAlī a.s. Bapanya ialah Muḥammad yang terkenal dengan panggilan “bin al-Ḥanafiyyah”, yang merujuk kepada Khawlah iaitu seorang tawanan yang berasal dari Banī Ḥanīfah.

[3] Sunan al-Tirmidhī, nombor 3638. Kata Sheikh Muḥammad Abū al-Hudá al-Yaʿqūbī: “Ia diriwayatkan juga oleh al-Bukhārī dalam al-Adab al-Mufrad, al-Bayhaqī dalam al-Dalāʾil, Abū Bakr bin Abī Shaybah dalam al-Muṣannaf, dan Ibnʿ Asākir dalam Tārīkh Dimashq. Dan dalam sanad hadith ini ada kelemahan yang tidak memberi kesan dalam berdalil; kerana ia telah dibuat berdalil dengannya oleh sekumpulan para ḥuffāẓ”. (Shamāʾil al-Ḥabīb al-Muṣṭafá, m/s 33)

Tangisan Nabi s.a.a.w ke atas Saidina Husein a.s.

–         Riwayat Ummu Salamah r.a.

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، قَالَتْ: كَانَ الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَلْعَبَانِ بَيْنَ يَدَيِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَيْتِي، فَنَزَلَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ، فَقَالَ: “يَا مُحَمَّدُ، إِنَّ أُمَّتَكَ تَقْتُلُ ابْنَكَ هَذَا مِنْ بَعْدِكَ”. فَأَوْمأَ بِيَدِهِ إِلَى الْحُسَيْنِ، فَبَكَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَضَمَّهُ إِلَى صَدْرِهِ.

ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «وَدِيعَةٌ عِنْدَكِ هَذِهِ التُّرْبَةُ». فَشَمَّهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ: «وَيْحَ كَرْبٍ وَبَلَاءٍ». قَالَتْ: وَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِذَا تَحَوَّلَتْ هَذِهِ التُّرْبَةُ دَمًا، فَاعْلَمِي أَنَّ ابْنِي قَدْ قُتِلَ».

قَالَ: فَجَعَلَتْهَا أُمُّ سَلَمَةَ فِي قَارُورَةٍ، ثُمَّ جَعَلَتْ تَنْظُرُ إِلَيْهَا كُلَّ يَوْمٍ، وَتَقُولُ: إِنَّ يَوْمًا تَحَوَّلِينَ دَمًا لَيَوْمٌ عَظِيمٌ.

Daripada Ummu Salamah, kata beliau: Hasan dan Husein r.anhuma sedang bermain di hadapan Nabi s.a.a.w di rumahku, lalu turunlah Jibril a.s, lantas berkata: “Wahai Muhammad, sesungguhnya umatmu akan membunuh anakmu ini selepas daripadamu”, lalu beliau mengisyaratkan dengan tangan beliau kepada Husein, maka menangislah Rasulullah s.a.a.w, dan baginda mendakapnya ke dada baginda.

Kemudian Rasulullah s.a.a.w bersabda: “Ini suatu amanah di sisimu, tanah ini”. Maka Rasulullah s.a.a.w pun menciumnya, dan bersabda: “Aduhai kasihannya, kesusahan dan bala”. Kata beliau: Dan Rasulullah s.a.a.w bersabda: “Wahai Ummu Salamah, apabila tanah ini telah berubah menjadi darah, maka ketahuilah bahawa anakku telah dibunuh”.

Kata perawi: Maka Ummu Salamah telah meletakkannya dalam suatu botol, kemudian beliau pun melihatnya setiap hari, dan berkata: Sesungguhnya suatu hari yang mana engkau berubah menjadi darah adalah benar-benar satu hari yang besar”[1].

  • Riwayat lain:

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا ذَاتَ يَوْمٍ فِي بَيْتِي، فَقَالَ: «لَا يَدْخُلْ عَلَيَّ أَحَدٌ» . فَانْتَظَرْتُ فَدَخَلَ الْحُسَيْنُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، فَسَمِعْتُ نَشِيجَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبْكِي، فَاطَّلَعْتُ فَإِذَا حُسَيْنٌ فِي حِجْرِهِ، وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ جَبِينَهُ وَهُوَ يَبْكِي، فَقُلْتُ: وَاللهِ مَا عَلِمْتُ حِينَ دَخَلَ، فَقَالَ: “إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ كَانَ مَعَنَا فِي الْبَيْتِ، فَقَالَ: تُحِبُّهُ؟ قُلْتُ: أَمَّا مِنَ الدُّنْيَا فَنَعَمْ. قَالَ: إِنَّ أُمَّتَكَ سَتَقْتُلُ هَذَا بِأَرْضٍ يُقَالُ لَهَا كَرْبَلَاءُ”. فَتَنَاوَلَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ مِنْ تُرْبَتِهَا، فَأَرَاهَا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

فَلَمَّا أُحِيطَ بِحُسَينٍ حِينَ قُتِلَ، قَالَ: مَا اسْمُ هَذِهِ الْأَرْضِ؟ قَالُوا: كَرْبَلَاءُ. قَالَ: صَدَقَ اللهُ وَرَسُولُهُ، أَرْضُ كَرْبٍ وَبَلَاءٍ.

Daripada Ummu Salamah, kata beliau: Rasulullah s.a.a.w sedang suatu hari di rumahku, lalu baginda bersabda: “Jangan seorang pun masuk kepadaku”. Maka aku pun menunggu. Maka masuklah Husein r.a, lalu aku mendengar tangisan tersedu-sedu Rasulullah s.a.a.w yang sedang menangis, maka aku pun menjenguk, rupa-rupanya Husein berada dalam riba baginda, dan Rasulullah s.a.a.w sedang menyapu dahinya dalam keadaan baginda sedang menangis, maka aku pun berkata: Demi Allah, aku tidak tahu pun ketika dia masuk. Maka baginda bersabda: “Sesungguhnya Jibril a.s. tadi ada bersama kami dalam rumah, lalu beliau berkata: Adakah kamu mencintainya? Aku menjawab: Adapun daripada dunia, maka ya. Kata beliau: Sesungguhnya umatmu akan membunuh dia ini di suatu bumi yang dikatakan kepadanya Karbala”. Maka Jibril a.s. telah mengambil daripada tanahnya, lalu memperlihatkannya kepada Nabi s.a.a.w.

Maka tatkala Husein dikepung ketika beliau dibunuh, beliau berkata: Apakah nama bumi ini? Mereka berkata: Karbala. Kata beliau: “Benarlah Allah dan Rasul-Nya, bumi kesusahan dan bala[2].

  • Riwayat lain:

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ رَضِيَ اللهُ عنْهَا قَالَتْ: قَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اجْلِسِي بِالْبَابِ، وَلَا يَلِجَنَّ عَلَيَّ أَحَدٌ» . فَقُمْتُ بِالْبَابِ، إِذْ جَاءَ الْحُسَيْنُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، فَذَهَبْتُ أَتَنَاوَلُهُ، فَسَبَقَنِي الْغُلَامُ، فَدَخَلَ عَلَى جَدِّهِ، فَقُلْتُ: يَا نَبِيَّ اللهِ، جَعَلَنِي اللهُ فِدَاكَ، أَمَرْتَنِي أَنْ لَا يَلِجَ عَلَيْكَ أَحَدٌ، وَإِنَّ ابْنَكَ جَاءَ، فَذَهَبْتُ أَتَنَاوَلُهُ فَسَبَقَنِي. فَلَمَّا طَالَ ذَلِكَ تَطَلَّعْتُ مِنَ الْبَابِ، فَوَجَدْتُكَ تُقَلِّبُ بِكَفَّيْكَ شَيْئًا وَدُمُوعُكَ تَسِيلُ، وَالصَّبِيُّ عَلَى بَطْنِكَ.

قَالَ: “نَعَمْ، أَتَانِي جِبْرِيلُ، فَأَخْبَرَنِي أَنَّ أُمَّتِي يَقْتُلُونَهُ، وَأَتَانِي بِالتُّرْبَةِ الَّتِي يُقْتَلُ عَلَيْهَا، فَهِيَ الَّتِي أُقَلِّبُ بِكَفَّيَّ”.

Daripada Ummu Salamah r.anha, kata beliau: Rasulullah s.a.a.w telah bersabda kepadaku: “Duduklah di pintu, dan jangan ada seorang pun yang masuk kepadaku”. Aku pun berdiri di pintu, ketika Husein r.a. datang, aku pun pergi untuk mengambil beliau, lalu budak itu telah mendahuluiku, lantas beliau masuk kepada datuk beliau, maka aku pun berkata: Wahai Nabi Allah, semoga Allah menjadikanku tebusanmu, engkau telah memerintahkanku supaya tiada seorang pun yang masuk kepadamu, dan sesungguhnya anakmu telah datang, lalu aku pun pergi untuk mengambil beliau lalu beliau telah mendahuluiku. Maka apabila telah lama yang demikian itu, aku pun menjenguk dari pintu, maka aku mendapatimu sedang membalik-balikkan dengan kedua tapak tanganmu akan sesuatu, sedang air matamu mengalir, dan budak itu pula di atas perutmu.

Sabda baginda: “Ya, Jibril telah mendatangiku, lalu memberitahuku bahawa umatku akan membunuhnya, dan beliau telah mendatangiku dengan tanah yang mana beliau akan dibunuh di atasnya, maka itulah yang aku balik-balikkan dengan kedua tapak tanganku[3].


[1] Diriwayatkan oleh al-Ṭabarānī dalam al-Muʿjam al-Kabīr  (3:108) nombor 2817.

[2] Diriwayatkan oleh al-Ṭabarānī dalam al-Muʿjam al-Kabīr  (3:108) nombor 2819.

[3] Diriwayatkan oleh al-Ṭabarānī dalam al-Muʿjam al-Kabīr (3:109) nombor 2820, “dan ia (riwayat-riwayat tersebut) telah dimasukkan oleh al-Haythamī dalam Majmaʿ al-Zawāʾid wa Manbaʿ al-Fawāʾid (9:303), dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Ṭabarānī dengan beberapa sanad, dan para perawi salah satunya adalah thiqah.

Dan kata al-Būṣīrī dalam It’ḥāf al-Khīrah al-Maharah (7:237) nombor 6755: Diriwayatkan oleh ʿAbd bin Ḥumayd dengan sanad yang sahih, dan oleh Aḥmad secara ringkas daripada ʿAʾishah atau Ummu Salamah di atas syak”. Sheikh Amīn al-Ḥadāʾ, al-Imam al-Husein bayna al-Ijlal al-Nabawi wa al-Istihlal al-Umawi, hal. 46.