Al-Tirmidhī meriwayatkan daripada Saidina ʿAlī a.s, kata beliau:

.لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ [وآله] وَسَلَّمَ بِالطَّوِيلِ وَلاَ بِالقَصِيرِ

.شَثْنَ الكَفَّيْنِ وَالقَدَمَيْنِ، ضَخْمَ الرَّأْسِ، ضَخْمَ الكَرَادِيسِ، طَوِيلَ الْمَسْرُبَةِ

.إِذَا مَشَى تَكَفَّأَ تَكَفُّؤًا، كَأَنَّمَا يَنْحَطُّ مِنْ صَبَبٍ

.لَمْ أَرَ قَبْلَهُ وَلاَ بَعْدَهُ مِثْلَهُ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ [وآله] وَسَلَّمَ

“Rasūlullāh s.a.a.w tidaklah terlalu tinggi atau pendek.

Tebal jari-jemari tangan dan kaki, besar saiz kepala, besar kepala tulang, panjang bulu dada.

Apabila baginda berjalan baginda condong ke depan, seolah-olah baginda sedang menuruni tempat yang rendah.

Aku tidak pernah melihat sebelum baginda atau selepas baginda orang yang seperti baginda s.a.a.w”[1].

Al-Tirmidhī juga meriwayatkan daripada Ibrāhīm bin Muḥammad, iaitu salah seorang keturunan Saidina ʿAlī a.s[2], katanya:

:كَانَ عَلِيٌّ، إِذَا وَصَفَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ [وآله] وَسَلَّمَ، قَالَ

.لَيْسَ بِالطَّوِيلِ الْمُمَّغِطِ وَلاَ بِالقَصِيرِ الْمُتَرَدِّدِ، وَكَانَ رَبْعَةً مِنَ القَوْمِ

.وَلَمْ يَكُنْ بِالجَعْدِ القَطَطِ وَلاَ بِالسَّبِطِ، كَانَ جَعْدًا رَجِلاً

.وَلَمْ يَكُنْ بِالمـُطَهَّمِ، وَلاَ بِالمـُكَلْثَمِ، وَكَانَ فِي الوَجْهِ تَدْوِيرٌ

أَبْيَضُ مُشْرَبٌ، أَدْعَجُ العَيْنَيْنِ، أَهْدَبُ الأَشْفَارِ، جَلِيلُ الْمُشَاشِ وَالكَتَدِ، أَجْرَدُ، ذُو مَسْرُبَةٍ، شَثْنُ الكَفَّيْنِ وَالقَدَمَيْنِ

.إِذَا مَشَى تَقَلَّعَ، كَأَنَّمَا يَمْشِي فِي صَبَبٍ، وَإِذَا التَفَتَ التَفَتَ مَعًا

.بَيْنَ كَتِفَيْهِ خَاتَمُ النُّبُوَّةِ، وَهُوَ خَاتَمُ النَّبِيِّينَ

.أَجْوَدُ النَّاسِ صَدْرًا، وَأَصْدَقُ النَّاسِ لَهْجَةً، وَأَلْيَنُهُمْ عَرِيكَةً، وَأَكْرَمُهُمْ عِشْرَةً

.مَنْ رَآهُ بَدِيهَةً هَابَهُ، وَمَنْ خَالَطَهُ مَعْرِفَةً أَحَبَّهُ

.يَقُولُ نَاعِتُهُ: لَمْ أَرَ قَبْلَهُ وَلاَ بَعْدَهُ مِثْلَهُ

“ʿAlī dahulu ketika menyifatkan Nabi s.a.a.w beliau berkata:

Baginda tidaklah terlalu tinggi atau terlalu rendah, baginda adalah sederhana dari kalangan kaum.

Baginda tidaklah terlalu kerinting rambut atau lurus, baginda berambut ikal mayang.

Baginda bukanlah gemuk atau berwajah bulat, dan pada muka baginda ada sedikit bentuk bulat.

Putih kemerahan, sangat hitam biji mata, panjang bulu mata, besar kepala tulang dan bawah pangkal belakang leher, tubuh baginda tidak penuh bulu, mempunyai masrubah (bulu yang memanjang dari dada ke pusat).

Apabila baginda berjalan, baginda seperti mencabut kaki daripada bumi, seolah-olah sedang berjalan di tempat menurun, dan apabila baginda berpaling baginda berpaling secara keseluruhan.

Di antara dua bahu baginda ada cap mohor kenabian, dan baginda adalah penyudah segala nabi.

Paling murah hati, paling jujur percakapan, paling lembut peribadi, dan paling mulia pergaulan.

Sesiapa yang melihat baginda secara tiba-tiba akan takut (kerana mengagungkan baginda), dan sesiapa yang bergaul dengan baginda kerana mengenali pula akan mencintai baginda.

Kata penyifat baginda: Aku tidak pernah melihat sebelum baginda atau selepas baginda orang yang seperti baginda”[3].


[1] Sunan al-Tirmidhī, nombor 3637. Kata al-Tirmidhī: Ini adalah hadith yang hasan lagi sahih.

[2] Beliau ialah cucu Saidina ʿAlī a.s. Bapanya ialah Muḥammad yang terkenal dengan panggilan “bin al-Ḥanafiyyah”, yang merujuk kepada Khawlah iaitu seorang tawanan yang berasal dari Banī Ḥanīfah.

[3] Sunan al-Tirmidhī, nombor 3638. Kata Sheikh Muḥammad Abū al-Hudá al-Yaʿqūbī: “Ia diriwayatkan juga oleh al-Bukhārī dalam al-Adab al-Mufrad, al-Bayhaqī dalam al-Dalāʾil, Abū Bakr bin Abī Shaybah dalam al-Muṣannaf, dan Ibnʿ Asākir dalam Tārīkh Dimashq. Dan dalam sanad hadith ini ada kelemahan yang tidak memberi kesan dalam berdalil; kerana ia telah dibuat berdalil dengannya oleh sekumpulan para ḥuffāẓ”. (Shamāʾil al-Ḥabīb al-Muṣṭafá, m/s 33)

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *