21 Ramaḍān, adalah hari kesyahidan Saidina Ali a.s.

Pada pagi 19 Ramaḍān 40H, ketika sedang sujud dalam solat Subuh, beliau telah ditetak di kepala oleh Abdul Rahman bin Muljim al-Murādī, salah seorang golongan Khawārij. Motifnya ialah tidak berpuas hati dengan Saidina Ali yang berjaya menumpaskan golongan Khawārij dalam Perang Nahrawān, di mana tidak sampai sepuluh orang daripada mereka yang berjaya menyelamatkan diri.

Setelah ditetak, Saidina Ali a.s. telah dibawa ke rumah untuk berehat. Ibn Muljim si durjana pula berjaya ditangkap. Walaupun dizalimi sebegitu rupa, Saidina Ali a.s. tetap memerintahkan supaya penjenayah terbabit dilayan dengan baik dari segi makanan dan tempat tidur. Beliau bertitah bahawa jika beliau panjang umur, maka beliau lebih tahu apa yang patut dilakukan samada memaafkan atau melaksanakan qisas. Jika beliau wafat, maka laksanakanlah qisas dengan adil tanpa perbuatan yang melampau.

Setelah lebih dua hari menahan sakit, Amirul Mukminin Saidina Ali a.s. akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 21 Ramaḍān 40H.

Saidina Hasan a.s. dalam ucapan selepas kewafatan bapa beliau menyatakan: “Demi sesungguhnya, seorang lelaki telah meninggalkan kamu semalam, yang mana orang-orang terdahulu tidaklah mendahului beliau dengan ilmu, dan beliau tidak mampu dikejar oleh orang-orang terkemudian. Rasulullah s.a.a.w dahulu mengutuskan beliau dengan panji peperangan; Jibrīl di sebelah kanan beliau, dan Mikāʾīl di sebelah kiri beliau, beliau tidak beredar sehinggalah dibukakan kepada beliau“. [Musnad Ahmad: 1719]

Salam sejahtera ke atas Mawlana Amirul Mukminin, beserta rahmat Allah dan keberkatan-Nya.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *