TANGISAN RASULULLAH SAW KE ATAS SAYYIDINA HUSEIN AS: Riwayat Ummu Salamah RA (3)

Daripada Ummu Salamah r.anha, kata beliau: Rasūlullāh s.a.a.w telah bersabda kepadaku: “Duduklah di pintu, dan jangan ada seorang pun yang masuk kepadaku”.

Aku pun berdiri di pintu, ketika Husein r.a. datang, aku pun pergi untuk mengambil beliau, lalu budak itu telah mendahuluiku, lantas beliau masuk kepada datuk beliau, maka aku pun berkata: Wahai Nabi Allāh, semoga Allāh menjadikanku tebusanmu, engkau telah memerintahkanku supaya tiada seorang pun yang masuk kepadamu, dan sesungguhnya anakmu telah datang, lalu aku pun pergi untuk mengambil beliau lalu beliau telah mendahuluiku.

Maka apabila telah lama yang demikian itu, aku pun menjenguk dari pintu, maka aku mendapatimu sedang membalik-balikkan dengan kedua tapak tanganmu akan sesuatu, sedang air matamu mengalir, dan budak itu pula di atas perutmu.

Sabda baginda: “Ya, Jibril telah mendatangiku, lalu memberitahuku bahawa umatku akan membunuhnya, dan beliau telah mendatangiku dengan tanah yang mana beliau akan dibunuh di atasnya, maka itulah yang aku balik-balikkan dengan kedua tapak tanganku”.

(Diriwayatkan oleh al-Ṭabarānī dalam al-Muʿjam al-Kabīr (3:109) nombor 2820, “dan ia (riwayat-riwayat tersebut) telah dimasukkan oleh al-Haythamī dalam Majmaʿ al-Zawāʾid wa Manbaʿ al-Fawāʾid (9:303), dan beliau berkata: Diriwayatkan oleh al-Ṭabarānī dengan beberapa sanad, dan para perawi salah satunya adalah thiqah.

Dan kata al-Būṣīrī dalam It’ḥāf al-Khīrah al-Maharah (7:237) nombor 6755: Diriwayatkan oleh ʿAbd bin Ḥumayd dengan sanad yang Ṣaḥīḥ, dan oleh Aḥmad secara ringkas daripada ʿAʾishah atau Ummu Salamah di atas syak”, – Sheikh Amīn al-Ḥadāʾ, op. cit. hal. 46. [Ada Apa Dengan Karbala, hal. 319])

TANGISAN RASULULLAH SAW KE ATAS SAYYIDINA HUSEIN AS: Riwayat Ummu Salamah RA (2)

Daripada Ummu Salamah, kata beliau: Rasūlullāh s.a.a.w sedang duduk suatu hari di rumahku, lalu baginda bersabda: Jangan seorang pun masuk kepadaku.

Maka aku pun menunggu. Maka masuklah Husein r.a, lalu aku mendengar tangisan tersedu-sedu Rasūlullāh s.a.a.w yang sedang menangis, maka aku pun menjenguk, rupa-rupanya Husein berada dalam riba baginda, dan Rasūlullāh s.a.a.w sedang menyapu dahinya dalam keadaan baginda sedang menangis, maka aku pun berkata: Demi Allāh, aku tidak tahu pun ketika dia masuk.

Maka baginda bersabda: “Sesungguhnya Jibril a.s. tadi ada bersama kami dalam rumah, lalu beliau berkata: Adakah kamu mencintainya? Aku menjawab: Adapun daripada dunia, maka ya. Kata beliau: Sesungguhnya umatmu akan membunuh dia ini di suatu bumi yang dikatakan kepadanya Karbalā”.

Maka Jibril a.s. telah mengambil daripada tanahnya, lalu memperlihatkannya kepada Nabi s.a.a.w.

Maka tatkala Husein dikepung ketika beliau dibunuh, beliau berkata: Apakah nama bumi ini?

Mereka berkata: Karbalā.

Kata beliau: Benarlah Allāh dan Rasul-Nya, bumi kesusahan dan bala.

(Diriwayatkan oleh al-Ṭabarānī dalam al-Muʿjam al-Kabīr (3:108) nombor 2819)

TANGISAN RASULULLAH SAW KE ATAS SAYYIDINA HUSEIN AS: Riwayat Ummu Salamah RA (1)

Daripada Ummu Salamah, kata beliau: Hasan dan Husein r.anhuma sedang bermain di hadapan Nabi s.a.a.w di rumahku, lalu turunlah Jibril a.s, lantas berkata: “Wahai Muḥammad, sesungguhnya umatmu akan membunuh anakmu ini selepas daripadamu”, lalu beliau mengisyaratkan dengan tangan beliau kepada Husein, maka menangislah Rasūlullāh s.a.a.w, dan baginda mendakapnya ke dada baginda.

Kemudian Rasūlullāh s.a.a.w bersabda: “Ini suatu amanah di sisimu, tanah ini”. Maka Rasūlullāh s.a.a.w pun menciumnya, dan bersabda: “Aduhai kasihannya, kesusahan dan bala”.

Kata beliau: Dan Rasūlullāh s.a.a.w bersabda: “Wahai Ummu Salamah, apabila tanah ini telah berubah menjadi darah, maka ketahuilah bahawa anakku telah dibunuh”.

Kata perawi: Maka Ummu Salamah telah meletakkannya dalam suatu botol, kemudian beliau pun melihatnya setiap hari, dan berkata: Sesungguhnya suatu hari yang mana engkau berubah menjadi darah adalah benar-benar satu hari yang besar”.

(Diriwayatkan oleh al-Ṭabarānī dalam al-Muʿjam al-Kabīr (3:108) nombor 2817)

“MAKA HENDAKLAH DIA MEMBANTU BELIAU”

Daripada Anas bin al-Ḥārith, katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

« إِنَّ ابْنى هَذَا -يعنى الحُسين- يُقْتَلُ بأرضٍ من أرضِ العراق، يقال لها كَربلاءَ، ‌فمن ‌شَهد ‌ذلك ‌منكم ‌فَلينْصُرْهُ »

Maksudnya: “Sesungguhnya anakku ini – yakni Husein – akan dibunuh di satu tanah dari bumi Iraq yang dipanggil Karbala; maka sesiapa yang menyaksikan yang demikian itu dari kalangan kamu maka hendaklah dia membantu beliau.”

[Hadith riwayat: al-Baghawi, Ibn al-Sakan, Ibn Mandah, al-Bāwardi dan Ibn ʿAsākir. Lihat: Jamʿ al-Jawami @ al-Jāmiʿ al-Kabīr, karangan al-Suyūṭī, 2/433, nombor 1579/6068]

Kata perawi: “Maka Anas bin al-Ḥārith pun keluar ke Karbala, lalu beliau dibunuh di sana bersama Husein.”

[Lihat: al-Iṣābah fī Tamyīz al-Ṣaḥābah, karangan al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, 1/271]

TERMASUK DIRI NABI SAW

TERMASUK DIRI NABI SAW

عن يعلى العامري: أنه خرج مع رسولِ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم إلى طعامٍ دُعُوا له، فإذا حسينٌ مع الصِّبْيانِ يَلعبُ، فاستَقبل أمامَ القومِ، ثم بَسَطَ يَدَهُ، فجعل الصبيُّ يَفِرُّ ها هنا مَرّةً وها هنا مرة، وجعل رسولُ الله صلى الله عليه وآله وسلم يُضاحِكُهُ، حتى أخذه رسولُ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم، فجعل إحدى يديه تحت ذَقْنِه والأخرى تحت قَفاهُ، ثم قَنَعَ رأسَه، فوَضع فَاهُ على فِيه فقَبَّلَه، وقال:

(( حُسَيْنٌ مِنِّي وَأَنَا مِنْ حُسَيْنٍ، أَحَبَّ اللَّهُ مَنْ أَحَبَّ حُسَيْنًا، حُسَيْنٌ سِبْطٌ مِنَ الأَسْبَاطِ ))

Maksudnya: “Daripada Yaʿlá al-ʿĀmirī: bahawa beliau telah keluar bersama Rasūlullāh s.a.a.w ke suatu jamuan makanan yang mereka dipanggil untuknya, maka rupa-rupanya Husein bersama-sama kanak-kanak sedang bermain, lalu baginda pergi ke hadapan kumpulan, kemudian baginda menebarkan tangan baginda, maka mulalah budak itu melarikan diri ke sini sekali dan ke sana sekali, dan Rasūlullāh s.a.a.w pun mulalah bergurau dengannya, sehinggalah Rasūlullāh s.a.a.w mengambilnya, lalu baginda meletakkan salah satu tangan baginda di bawah dagunya, dan satu lagi di bawah tengkuknya, kemudian baginda menundukkan kepala baginda lalu meletakkan mulut baginda ke atas mulutnya lantas menciumnya, dan baginda bersabda:

Husein termasuk daripadaku, dan aku termasuk daripada Husein, semoga Allāh mencintai sesiapa yang mencintai Husein, Husein adalah sibṭ daripada asbāṭ” .

“Disahihkan oleh:
– Ibn Ḥibbān; maka beliau memasukkannya dalam Ṣaḥīḥ beliau (15:427) nombor 6971,
– dan al-Ḥākim dalam al-Mustadrak (3:194) nombor 4820,
– dan al-Dhahabī dalam al-Talkhīṣ.

Dan ia dihasankan oleh:
– al-Tirmidhī (5:658) nombor 3775,
– dan Sheikh al-Albānī.

Dan sanadnya dihasankan oleh:
– al-Haythamī dalam Majmaʿ al-Zawāʾid (9:290) nombor 15075,
– dan al-Būṣīrī dalam Miṣbāḥ al-Zujājah,
– dan al-Suyūṭī sebagaimana dalam al-Taysīr karangan al-Munāwī (1:1010).

Dan hadith “Husein termasuk daripadaku, dan aku termasuk daripada Husein” telah disebutkan tanpa tambahan oleh:
– al-Sakhāwī dalam al-Maqāṣid al-Ḥasanah (1:171),
– dan al-Zarkashī dalam al-Tadhkirah fī al-Aḥādīth al-Mushtaharah (1:189),

dan mereka berdua mensaḥīḥkannya”. (Sheikh Amīn al-Ḥadāʾ, op. cit. 29) [Ada Apa Dengan Karbala, hal. 57]

Perhatikanlah bagaimana Nabi s.a.a.w bukan sahaja menjadikan diri Saidina Husein a.s. termasuk diri baginda, bahkan menjadikan diri baginda termasuk diri beliau!

Maka apakah pandangan anda kepada mereka yang sanggup memerangi dan membunuh peribadi seperti ini?

Perhatikan juga doa Nabi s.a.a.w selepas itu, dan bagaimanakah Nabi s.a.a.w menjadikan Saidina Husein a.s. sebagai salah satu sibṭ daripada sekalian asbāṭ!

Ia mengingatkan kita kepada firman Allāh tentang Bani Israil:


وَقَطَّعۡنَٰهُمُ ٱثۡنَتَيۡ عَشۡرَةَ أَسۡبَاطًا أُمَمٗاۚ

“Dan Kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku, sebagai golongan-golongan besar” [al-Aʿrāf: 160]

Sibṭ dari segi bahasa bermaksud cucu. Dalam konteks Bani Israil pula, ia bermaksud satu suku atau kabilah yang besar. Maka sebagaimana sibṭ dalam kalangan Bani Israil itu mewakili satu kabilah yang besar, maka begitulah juga dengan Saidina Husein a.s. yang merupakan bapa kepada keturunan Ahlul Bayt yang sangat ramai sehingga hari ini.

Ada juga sebahagian ulama yang berpandangan ia bermaksud bahawa Saidina Husein a.s. itu sendiri dikira sebagai satu umat yang agung dalam kebaikan. [Lihat: Tuḥfat al-Aḥwadhī oleh al-Mubārakfūrī, 10:178]

“DARI KERANA BENCIKAN ALI”

Daripada Saʿīd bin Jubayr, katanya: “Aku pernah bersama Ibn ʿAbbās di Arafah, lalu beliau berkata: Mengapa aku tidak mendengar orang ramai bertalbiyah?

Aku berkata: Mereka takut terhadap Muʿāwiyah.

Maka Ibn ʿAbbās pun keluar dari khemahnya, lalu berkata: Labbaykallāhumma Labbayk, Labbayk..; kerana sesungguhnya mereka telah meninggalkan sunnah dari kerana bencikan Ali”.

Hadith riwayat:

– al-Nasāʿī

– Ibn Khuzaymah

– al-Ḥākim

– al-Bayhaqī, dan lafaz riwayat beliau:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، وإِنْ رَغِمَ أنفُ مُعاوِيَةَ، اللَّهُمَّ الْعَنْهُم؛ فقَدْ ‌تَرَكُوا ‌السُّنَّةَ مِنْ بُغْضِ عَلِيٍّ – رضي الله عنه –

yang bermaksud: “Aku menyahut seruan-Mu wahai Tuhanku, aku menyahut seruan-Mu, sekalipun Muʿāwiyah tidak suka. Wahai Tuhanku, kutuklah mereka; kerana sesungguhnya mereka telah meninggalkan sunnah dari kerana bencikan Ali RA”.

#كتاب_الله_وعترتي_أهل_بيتي

#القرآن_والسنة_بفهم_أهل_البيت