
TERMASUK DIRI NABI SAW
عن يعلى العامري: أنه خرج مع رسولِ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم إلى طعامٍ دُعُوا له، فإذا حسينٌ مع الصِّبْيانِ يَلعبُ، فاستَقبل أمامَ القومِ، ثم بَسَطَ يَدَهُ، فجعل الصبيُّ يَفِرُّ ها هنا مَرّةً وها هنا مرة، وجعل رسولُ الله صلى الله عليه وآله وسلم يُضاحِكُهُ، حتى أخذه رسولُ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم، فجعل إحدى يديه تحت ذَقْنِه والأخرى تحت قَفاهُ، ثم قَنَعَ رأسَه، فوَضع فَاهُ على فِيه فقَبَّلَه، وقال:
(( حُسَيْنٌ مِنِّي وَأَنَا مِنْ حُسَيْنٍ، أَحَبَّ اللَّهُ مَنْ أَحَبَّ حُسَيْنًا، حُسَيْنٌ سِبْطٌ مِنَ الأَسْبَاطِ ))
Maksudnya: “Daripada Yaʿlá al-ʿĀmirī: bahawa beliau telah keluar bersama Rasūlullāh s.a.a.w ke suatu jamuan makanan yang mereka dipanggil untuknya, maka rupa-rupanya Husein bersama-sama kanak-kanak sedang bermain, lalu baginda pergi ke hadapan kumpulan, kemudian baginda menebarkan tangan baginda, maka mulalah budak itu melarikan diri ke sini sekali dan ke sana sekali, dan Rasūlullāh s.a.a.w pun mulalah bergurau dengannya, sehinggalah Rasūlullāh s.a.a.w mengambilnya, lalu baginda meletakkan salah satu tangan baginda di bawah dagunya, dan satu lagi di bawah tengkuknya, kemudian baginda menundukkan kepala baginda lalu meletakkan mulut baginda ke atas mulutnya lantas menciumnya, dan baginda bersabda:
Husein termasuk daripadaku, dan aku termasuk daripada Husein, semoga Allāh mencintai sesiapa yang mencintai Husein, Husein adalah sibṭ daripada asbāṭ” .
“Disahihkan oleh:
– Ibn Ḥibbān; maka beliau memasukkannya dalam Ṣaḥīḥ beliau (15:427) nombor 6971,
– dan al-Ḥākim dalam al-Mustadrak (3:194) nombor 4820,
– dan al-Dhahabī dalam al-Talkhīṣ.
Dan ia dihasankan oleh:
– al-Tirmidhī (5:658) nombor 3775,
– dan Sheikh al-Albānī.
Dan sanadnya dihasankan oleh:
– al-Haythamī dalam Majmaʿ al-Zawāʾid (9:290) nombor 15075,
– dan al-Būṣīrī dalam Miṣbāḥ al-Zujājah,
– dan al-Suyūṭī sebagaimana dalam al-Taysīr karangan al-Munāwī (1:1010).
Dan hadith “Husein termasuk daripadaku, dan aku termasuk daripada Husein” telah disebutkan tanpa tambahan oleh:
– al-Sakhāwī dalam al-Maqāṣid al-Ḥasanah (1:171),
– dan al-Zarkashī dalam al-Tadhkirah fī al-Aḥādīth al-Mushtaharah (1:189),
dan mereka berdua mensaḥīḥkannya”. (Sheikh Amīn al-Ḥadāʾ, op. cit. 29) [Ada Apa Dengan Karbala, hal. 57]
Perhatikanlah bagaimana Nabi s.a.a.w bukan sahaja menjadikan diri Saidina Husein a.s. termasuk diri baginda, bahkan menjadikan diri baginda termasuk diri beliau!
Maka apakah pandangan anda kepada mereka yang sanggup memerangi dan membunuh peribadi seperti ini?
Perhatikan juga doa Nabi s.a.a.w selepas itu, dan bagaimanakah Nabi s.a.a.w menjadikan Saidina Husein a.s. sebagai salah satu sibṭ daripada sekalian asbāṭ!
Ia mengingatkan kita kepada firman Allāh tentang Bani Israil:
وَقَطَّعۡنَٰهُمُ ٱثۡنَتَيۡ عَشۡرَةَ أَسۡبَاطًا أُمَمٗاۚ
“Dan Kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku, sebagai golongan-golongan besar” [al-Aʿrāf: 160]
Sibṭ dari segi bahasa bermaksud cucu. Dalam konteks Bani Israil pula, ia bermaksud satu suku atau kabilah yang besar. Maka sebagaimana sibṭ dalam kalangan Bani Israil itu mewakili satu kabilah yang besar, maka begitulah juga dengan Saidina Husein a.s. yang merupakan bapa kepada keturunan Ahlul Bayt yang sangat ramai sehingga hari ini.
Ada juga sebahagian ulama yang berpandangan ia bermaksud bahawa Saidina Husein a.s. itu sendiri dikira sebagai satu umat yang agung dalam kebaikan. [Lihat: Tuḥfat al-Aḥwadhī oleh al-Mubārakfūrī, 10:178]