Kata al-Ḥāfiẓ ʿAbdullāh bin al-Ṣiddīq al-Ghumārī dalam kitab beliau “al-Kanz al-Thamīn” hal. 350, dalam mensyarahkan hadith “Ali termasuk daripadaku, dan aku termasuk daripada Ali, dan tiada yang menunaikan bagi pihakku melainkan aku atau Ali”:
“[Ali termasuk daripadaku, dan aku termasuk daripada Ali]: Dalam hadith ini terdapat satu penyerupaan yang manis; kerana Ali telah terdidik di rumah Nabi s.a.a.w, maka beliau telah membesar diatas tauhid, dan beliau tidak pernah sujud kepada satu berhala pun (semoga Allah memuliakan wajah beliau). Dari sinilah, Nabi s.a.a.w mempersaudarakan beliau dari sekalian sahabat lain yang pernah sujud kepada berhala.
Maka hubungan kerabat beliau yang rapat dengan Rasul Teragung, membesarnya beliau dalam ribaan baginda, dan perdampingan beliau dengan baginda: telah menjadikan beliau sebagai pewaris ilmu-ilmu baginda, orang yang dipercayai ke atas syarak baginda, yang memelihara risalah baginda, yang berakhlak dengan akhlak baginda, yang berealisasi dengan sifat-sifat baginda; maka beliaulah sahabat yang paling alim, paling faqih, paling memutuskan hukuman, paling telus mata hati dalam agama, paling teliti fatwanya, paling bagus hujahnya, dan paling terpimpin kepada kebenaran.
Cukuplah bagi kita pada yang demikian itu kata-kata Umar r.a: “Kalaulah tidak kerana Ali, sudah tentu binasalah Umar”, dan katanya: “Semoga aku tidak kekal hingga kepada suatu kerumitan yang tiada untuknya Abu al-Hasan”.
Kata al-Shaʿbī pula: “Perumpamaan Ali dalam umat ini adalah umpama al-Masīh putera Maryam”.
Maka Baginda s.a.a.w telah bersabda kepada beliau: “Engkau daripadaku adalah seperti kedudukan Harun daripada Musa, akan tetapi tiada nabi selepasku”. Dan Harun adalah khalifah Musa pada kaum baginda, ketika baginda tiada kerana suatu urusan, dan beliau telah meninggal sebelum Musa, salam sejahtera ke atas mereka berdua.
Maka ayat: “Akan tetapi tiada nabi selepasku” telah datang untuk menunjukkan bahawa khilafah Ali itu adalah pada segala ilmu dan hakikat ‘Irfan, yang tidaklah datang kepada beliau dengan wahyu, seperti yang telah didakwa oleh para pelampau; kerana sesungguhnya seorang lelaki dari kabilah Kalb telah berkata kepada beliau: “Demi sesungguhnya, engkau telah diberikan – wahai Amirul Mukminin – ilmu ghaib!”. Lalu beliau ketawa, dan mengatakan: “Wahai saudara Kalb, ia bukanlah ilmu ghaib, akan tetapi hanyasanya ia adalah pembelajaran daripada orang yang mempunyai ilmu”.
Hanyasanya ia telah datang kepada beliau dengan secara pembelajaran dan talaqqi, daripada saudara dan guru beliau s.a.a.w; maka beliau ialah khalifah dalam memimpin para ulama yang arifin, dan kerana inilah tiada seorang pun dari kalangan sahabat r.anhum yang dinamakan sebagai Imam selain beliau.
Maka penyerupaan dalam hadith ini menerangkan: bahawa Ali telah mencapai dalam Imāmah beliau itu tahap bercampur sebati seorang murid dengan gurunya dengan campuran yang sempurna, dan cukuplah bagimu dengan ini sebagai dalil kepada ketinggian maqam Ali a.s.
Dan apabila Baginda Rasul s.a.a.w murka, tiada siapapun yang berani bercakap dengan baginda melainkan Ali, dan yang demikian itu kerana dua sebab:
- Salah satunya: apa yang telah terdahulu; daripada tarbiyah beliau di rumah baginda, dan status beliau sebagai khalifah, pemegang wasiat dan saudara baginda.
- Kedua: kebersifatan dengan ilmu, yang mana beliau telah mengatasi kesemua sahabat r.anhum padanya, sedangkan Nabi – ke atas baginda selawat yang paling afdal dan salam yang paling sempurna – sering menggalakkan kepada memuliakan para ulama..
Kita memohon kepada Allah petunjuk kepada jalan-Nya yang lurus, dan istiqamah di atas melazimi jalan terang Nabi-Nya – ke atas baginda selawat dan salam yang paling afdal, dan tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung”.
Dinukil daripada:
أهل البيت عليهم السلام في تراث الحافظ عبد الله بن الصديق الغماري
عادل كاظم عبد الله
hal. 27-28.