Puasa menurut Ahlul Bayt a.s.

al-Ḥāfiẓ Abū Nuʿaym al-Aṣbahānī (430H) meriwayatkan dalam kitab beliau Ḥilyat al-Awliyāʾ wa Ṭabaqāt  al-Aṣfiyāʾ (3/141-142), daripada al-Zuhrī, katanya:

“Kami telah masuk berjumpa Ali bin Husein bin Ali[1], lalu beliau berkata: Wahai Zuhri, pada apakah kamu telah berhimpun?

Aku berkata: Kami telah bermuzakarah mengenai puasa, lalu pandanganku dan pandangan para sahabatku telah bersepakat, bahawa tiada daripada puasa itu sesuatu yang wajib, melainkan puasa Ramaḍān.

Maka beliau berkata: Wahai Zuhri, ia bukanlah sebagaimana apa yang kamu katakan. Puasa itu di atas 40 cara; 10 daripadanya wajib seperti kewajipan puasa Ramadan, 10 lagi haram, 14 jenis pula orangnya diberi pilihan; jika dia mahu dia boleh berpuasa, dan jika dia mahu juga dia boleh berbuka, dan puasa nazar itu wajib, dan puasa I’tikaf itu wajib”.

Kata Zuhri: “Aku pun berkata: Terangkanlah ia, wahai putera Rasulullah[2].

Beliau berkata: Adapun yang wajib, maka (ialah):

  • Puasa bulan Ramaḍān
  • Puasa 2 bulan berturut-turut- yakni dalam pembunuhan tidak sengaja, bagi orang yang tidak mampu memerdekakan hamba -, firman-Nya Ta’ala:

Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar “diah” (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (Hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. [al-Nisāʾ: 92]

  • Puasa 3 hari hari dalam kaffarah sumpah bagi orang yang tidak mampu memberi makan, firman Allah Azza wa Jalla:

Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah”. [al-Māʾidah: 89]

  • Puasa mencukur kepala (dalam ihram), firman-Nya Ta’ala:

Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah, iaitu: berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam”. [al-Baqarah: 196]

Orang berkenaan diberi pilihan; jika dia mahu dia boleh berpuasa 3 hari.

  • Puasa Dam Mut’ah bagi orang yang tidak mampu mendapatkan binatang sembelihan, firman Allah Ta’ala:

Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) Ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya, kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya)”. [al-Baqarah: 196]

  • Dan puasa balasan memburu (dalam ihram), firman Allah Azza wa Jalla:

Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumNya oleh dua orang yang adil di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir miskin di tanah suci), atau bayaran kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin; supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi berkuasa membalas dengan azab seksa”. [al-Māʾidah: 95].

Dan hanyasanya dinilaikan binatang buruan itu dengan suatu nilai, kemudian dibayar harga itu ke atas gandum.

Adapun yang mana orang berkenaan diberi pilihan, maka (ialah):

  • Puasa hari Isnin dan Khamis
  • Puasa 6 hari daripada Shawwāl selepas Ramaḍān
  • Hari ʿArafah
  • Dan hari ʿĀshūrā

Setiap yang demikian itu, orang berkenaan diberi pilihan, jika dia mahu dia boleh berpuasa, dan jika dia mahu dia boleh berbuka.

Adapun puasa keizinan, maka (ialah):

  • Seseorang wanita itu tidak boleh berpuasa sunat melainkan dengan izin suaminya
  • Demikianlah juga hamba lelaki dan perempuan.

Adapun puasa haram, maka (ialah):

  • Puasa Hari Raya Fiṭri
  • Hari Raya Aḍ’ḥá
  • Hari-hari Tashrīq
  • Hari syak; kita ditegah untuk berpuasa padanya seperti Ramadan
  • Puasa sambung adalah haram
  • Puasa diam adalah haram
  • Puasa nazar maksiat adalah haram
  • Dan puasa sepanjang tahun adalah haram.

Dan seseorang tetamu itu tidak boleh berpuasa melainkan dengan izin sahabatnya (yang merupakan tuan rumah), sabda Rasulullah s.a.w:

(( مَنْ نَزَلَ على قومٍ، فلا يَصُومَنَّ تَطَوُّعًا إلا بإذنهم ))

(maksudnya:) “Sesiapa yang singgah bertamu kepada suatu kaum, maka janganlah ia berpuasa sunat melainkan dengan izin mereka”.

Dan seseorang budak itu diperintahkan dengan puasa apabila dia belum baligh, sebagai langkah membiasakan, dan ia bukanlah fardu.

Demikianlah juga orang yang berbuka kerana suatu kesakitan pada awal hari, kemudian dia mendapati kekuatan pada tubuhnya (untuk berpuasa), dia diperintahkan menahan diri, dan yang demikian itu adalah asuhan Allah Azza wa Jalla, dan ia bukanlah fardu.

Demikianlah juga orang musafir apabila dia telah makan pada awal hari kemudian dia selamat tiba, dia diperintahkan untuk menahan diri daripada berbuka.

Adapun puasa keharusan: Maka sesiapa yang makan atau minum dalam keadaan lupa dengan tidak sengaja, maka sesungguhnya telah diharuskan baginya yang demikian itu, dan sahlah puasanya.

Adapun puasa orang musafir dan orang sakit, maka sesungguhnya orang ramai telah berselisih pandangan padanya:

  • Maka kata sebahagian mereka: hendaklah dia berpuasa
  • Kata satu puak pula: dia tidak perlu berpuasa
  • Dan kata satu puak lain: jika dia mahu dia boleh berpuasa, dan jika dia mahu dia boleh berbuka.

Adapun kami (Ahlul Bayt)[3], maka kami berkata: Hendaklah dia berbuka dalam kedua-dua keadaan. Maka jika dia berpuasa juga dalam permusafiran dan kesakitan, maka wajib ke atasnya menggantinya[4], firman Allah Azza wa Jalla:

Maka hendaklah dia berpuasa pada hari-hari yang lain”. [al-Baqarah: 184]”.


[1] Iaitu Imam Ali Zaynul ʿĀbidīn a.s, yang digelar juga sebagai al-Sajjād. Beliau adalah satu-satunya putera Saidina Husein a.s. yang terselamat dalam Tragedi Karbala, kerana beliau dalam keadaan sakit.

[2] Perhatikan bagaiman al-Zuhrī memanggil Imam Ali Zaynul ʿĀbidīn a.s. sebagai “putera Rasulullah” walaupun beliau bertaraf cicit baginda s.a.w.

[3] Ini menunjukkan bahawa Ahlul Bayt a.s. mempunyai pandangan dan mazhab mereka sendiri.

[4] Pandangan ini sama dengan apa yang dipegang oleh Mazhab Ja’fari.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *