Kata Ibn al-Ṣabbāgh al-Mālikī:
“Hasan bin Ali telah dilahirkan pada pertengahan bulan Ramaḍān yang diagungkan, tahun ketiga daripada Hijrah. Hasan adalah anak sulung Ali dan Fatimah alaihimassalam.
Dan telah diriwayatkan secara marfu’ kepada Ali bin Abi Talib, kata beliau: Tatkala tiba waktu Fatimah mahu melahirkan, Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada Asmāʾ binti ʿUmays dan Ummu Salamah: Datangilah Fatimah, maka apabila anaknya telah lahir dan mula berteriak, maka kamu berdua azanlah pada telinga kanannya, dan iqamatlah pada telinga kirinya, kerana sesungguhnya tidaklah dilakukan yang demikian itu pada seseorang sepertinya melainkan dia akan dilindungi daripada syaitan. Dan janganlah kamu berdua lakukan sesuatu sehinggalah aku datang kepada kamu berdua.
Maka setelah beliau melahirkan, kami pun melakukan yang demikian itu, dan beliau pun didatangi oleh Rasulullah s.a.w, lalu baginda pun mengerat tali pusatnya dan membasahkan mulutnya dengan air liur baginda, dan bersabda: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku melindungkannya denganmu, dan juga anaknya, daripada syaitan yang direjam.
Maka apabila datang hari ketujuh dari kelahirannya, baginda s.a.w bertanya: Apakah yang telah kamu namakannya? Mereka menjawab: Ḥarb. Baginda s.a.w pun bersabda: Bahkan namakanlah dia Hasan.
Kemudian, sesungguhnya baginda s.a.w telah melakukan aqiqah untuknya dan menyembelih seekor biri-biri, dan baginda telah melakukannya dengan diri baginda sendiri yang mulia, dan baginda bersabda kepada Fatimah a.s: Cukurlah kepalanya, dan bersedekahlah dengan timbangan berat rambut itu dalam nilai perak. Maka timbangan berat daripada rambutnya itu selepas ia dicukur ialah satu Dirham lebih, lalu beliau pun bersedekah dengannya. Maka jadilah aqiqah dan juga bersedekah dengan timbangan berat rambut itu satu sunnah yang berterusan di sisi para ulama, dengan apa yang telah dilakukan oleh Nabi s.a.w pada hak Hasan a.s.”
[al-Fuṣūl al-Muhimmah fī Maʿrifat al-Aʾimmah, hal. 219-220, tahqiq Sayyid Jaʿfar al-Ḥusayni, cetakan al-Majmaʿ al-ʿĀlamī li Ahl al-Bayt, cetakan kedua, 1432H/2011M]