Hari Ghadir

Pada 18 Zulhijjah tahun 10 Hijrah, setelah berangkat pulang daripada Haji Wada’, Baginda Rasulullah s.a.w telah berhenti di sebuah lembah di antara Makkah dan Madinah, di sebuah tempat yang dikenali sebagai Ghadir Khum (ghadir: tali air)

Di sini, Baginda Nabi s.a.w telah berucap di hadapan ribuan sahabat. Antara kandungan khutbah baginda ialah: “Ammā ba’du: ketahuilah wahai sekalian manusia, hanyasanya aku ini seorang manusia, yang hampir didatangi oleh utusan Tuhanku lalu aku menyahut (panggilanNya). 

Dan aku meninggalkan padamu dua perkara yang berat, yang pertama ialah Kitab Allah, padanya ada petunjuk dan cahaya, maka ambillah dengan Kitab Allah dan berpeganglah dengannya“, lalu Baginda s.a.w memberikan galakan terhadap Kitab Allah Ta’ala.

Kemudian Baginda s.a.w menyambung: “Dan juga Ahli Bayt-ku (keluarga baginda), aku memperingatkan kamu kepada Allah pada Ahli Bayt-ku“. Peringatan ini diulang sebanyak 3 kali. [Sahih Muslim: 2408]

Baginda s.a.w juga bersabda: “Bukankah Allah adalah yang paling utama terhadap orang2 beriman?” Para sahabat menjawab: Bahkan benar. [Musnad Ahmad: 950]

Bukankah aku lebih utama terhadap orang2 beriman daripada diri mereka sendiri, dan isteri2ku adalah ibu2 mereka?” Mereka menjawab: bahkan benar, ya Rasulallah. [Musnad Ahmad: 961]

Bukankah aku lebih utama terhadap setiap orang beriman daripada diri mereka sendiri?” Mereka menjawab: bahkan benar. [Musnad Ahmad: 18479]

Lalu Baginda s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mana aku adalah Mawla baginya, maka Ali adalah Mawla baginya” [Sunan Tirmizi: 3713, Ahmad: 641, 1311]

Diikuti dengan doa: “Ya Allah, cintailah sesiapa yang mencintainya, dan musuhilah sesiapa yang memusuhinya” [Ahmad: 950, 961], “tolonglah sesiapa yang menolongnya, dan jangan berikan pertolongan kepada sesiapa yang tidak menolongnya” [Ahmad: 964]

Kalimah “Mawla” mempunyai banyak makna dalam bahasa Arab, antaranya ialah “yang paling utama”. Dan ia ada kaitan dengan walā’ (kesetiaan, kecintaan dan kesediaan memberikan bantuan). Seolah2 Baginda Rasulullah s.a.w di akhir hayatnya itu mengisyaratkan bahawa, akan berlaku perselisihan selepas kewafatan baginda, maka ketika itu siapakah orang yang paling utama untuk diberikan wala’ kepadanya? Dialah Ali bin Abi Talib.

Hadith ini diriwayatkan oleh ramai sahabat, sehingga mencapai tahap sahih yang tertinggi iaitu “mutawātir”.

Semoga kita termasuk dari kalangan mereka yang setia memberikan wala’ kepada Mawlana Amirul Mu’minin Ali bin Abi Talib, salam sejahtera dan keredaan Allah Ta’ala ke atas beliau.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *